Adi Rahimi, Mohd Amirul bersama rakan beliau selepas latihan menunggang ‘minibike’.
“Jangan jadi Mat Rempit jadilah Mat Trek”“Bila kita ‘race’ pandai macam mana sekalipun, berani macam manapun, dalam ‘corner’ jika tida disiplin dia akan jatuh,”
Masalah gejala sosial semakin menjadi perbualan hangat pelbagai pihak. Pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi masalah ini kepada yang lebih teruk. Masalah sosial seperti pelumba haram yang dikenali dengan istilah ‘Mat Rempit’
Pada masa kecil dahulu lebih kepada ‘mencipta’ permainan sendiri menjadi rutin harian selepas pulang sekolah sebagai contoh bedil, melastik burung, layang-layangbasikal tua jadi mainan, berlumba-lumba dengan rakan-rakan hanya ditarik dengan daun upih keliling kampung dan macam-macam lagi. Kalau buat silap kena marah bukan dengan ibu bapa masing-masing akan tetapi jiran tetangga.
Namun, hari ini keadaan sudah berubah, kanak-kanak tidak lagi bermain seperti itu. Hari ini mereka berada di depan bermain komputer, menghadap televisyen menonton rancangan dari pagi sampai malam, adakah kerana provokasi ‘dunia tanpa batasan’, mereka boleh lakukan apa sahaja. Ibubapa mahu menyaman pihak sekolah kerana tidak percaya anaknya melakukan perkara di luar jangkaan mereka. Pihak sekolah sudah tiada kuasa untuk membenarkan yang salah. Ibu bapa tidak boleh menerima orang lain memberi teguran,cadangan ataupun nasihat kepada anak-anak mereka. Perkara yang benar, selalu disalah ertikan. Adakah ini merupakan punca gejala sosial yang berlaku sekarang?
Oleh yang demikian, mampukah masalah ‘Rempit’ dapat diselesaikan? Adakah ini merupakan jalan terbaik untuk mengatasi dari berlakunya berterusan? Kenapa masalah ini terus membelengu terutama remaja melayu? Apakah langkah yang perlu disemai, dipupuk dan dibajai sejak dari kecil? Siapa yang sebenarnya boleh menunggang motorsikal ini? Kenapa perlu dilatih dari kecil?
“Ada remaja menaiki motorsikal jatuh kemudian datang berhampiran dengan anak saya. Dalam keadaan luka yang agak parah, anak saya yang umur 8 tahun ini hanya melihat gelagat remaja tersebut kemudian bertanya. “Kenapa, sakit ke?,” anaknya bertanya.“Sakit,” balas remaja tersebut.“Pakai topi keledar tak?”“Pakai,” jawab remaja itu.“Oh lain kali pakailah ‘racing suit’,” tegas anaknya.
“So, ‘indirectly’ kita nampak budak sudah tahu kalau lumba diluar, kemudian jatuh, dia sudah tahu akibatnya,” kata Rashid Bin Ramlan merupakan pemilik Nilai Speed Circuit.
Rashid Ramlan
Dengan perwatakan dan penampilan yang sederhana beliau merupakan seorang ahli perniagaan, membuka bengkel membaiki kereta, menyedikan Kursus Asas Menunggang Motorsikal kepada mereka yang ingin menceburi sukan permotoran.
Antara objektif utama beliau membuka litar ini adalah bertujuan untuk sumbangannya kepada masyarakat setempat bahawa untuk berlumba mengikut saluran yang betul yang disediakan dan memberikan tempat berlumba yang sesuai dan selamat bagi aktiviti sukan permotoran disamping memperkenalkan sukan ini kepada generasi muda, khusususnya golongan pelajar serta mencungkil bakat-bakat baru.
“Kalau hendak kata saya buka NSC ini untuk membawa untung tidak juga, lebih kepada rugi, tapi yang penting sumbangan saya kepada masyarakat.
“Tapak NSC ini mula dibuka pada awal bulan 9 tahun 2007 dan tapak ini disewa dengan tuan tanah serta dikenakan permit oleh pihak Majlis Perbandaran Nilai,” jelasnya.
Apa yang menarik perhatian jika berkunjung ke tapak litar yang terletak berhampiran Nilai Square ini adalah rekabentuk motorsikal ini yang dikenali ‘minibike’ dan yang menunggangnya adalah golongan kanak-kanak berusia seawal enam hingga 12 tahun.
“Sebenarnya jika ingin menunggang ‘minibike’ ini tiada had umur, kalau umur dia empat tahun, boleh menunggang dengan cara yang betul, tiada masalah dan mempunyai berat tidak melebihi 110 kilogram,” jelasnya lagi.
‘Minibike‘ ini juga dikenali motor mini atau motor poket. Kebiasaanya motor mini tradisional ini menggunakan 4 lejang. Ada juga 2 lejang, tetapi ianya mengeluarkan asap dan bunyi yang kuat. Oleh kerana saiznya kecil, motor mini ini tidak boleh digunakan dijalanraya. (wikipedia)
Menurut Rashid lagi ‘minibike’ ini sebenarnya dikeluarkan oleh Itali dan model pertamanya adalah Polini. Kebanyakan ‘minibike’ yang ada di Malaysia ini dibawa masuk dari China.
“Secara dasarnya, minibike ini mempunyai 2 jenis iaitu yang pertama ‘aircool’ hanya menggunakan udara sebagai penyejuk enjin dan keduanya adalah ‘water-cool’ yang menggunakan ‘coolant’ sebagai penyejuk enjin,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai ‘minibike’ jenis ‘aircool‘ ini ada diantaranya hanya menggunakan enjin mesin rumput sahaja dikenali sebagai QT dan boleh mencapai kelajuan mencecah kelajuan sehingga 80 – 90km/jam. ‘Minibike’ jenis ‘water-cool’ pula boleh mencecah kelajuan sehingga 110 -130km/jam.
“Minibike jenis water-cool mempunyai pelbagai jenis sebagai contoh Blata untuk badan yang besar, R 1 untuk memiliki kelajuan yang maksima dan ada juga jenis MONSTER dan GP3,” katanya.
Mengenai harga minibike ini jelasnya, mereka yang ingin memilikinya boleh dapat harga sekitar RM900 akan tetapi berpadanan dengan harga yang agak murah ianya mempunyai folk yang kecil, disk brake yang nipis dan ciri penyejukan enjin adalah aircool. Jenis water-cool pula sekitar RM1800 hingga RM2000 dan ianya mempunyai kelebihan dari ciri-ciri keselamatan.
Menceritakan rakan kenalannya mempunyai sehingga 3 buah minibike yang berlainan jenis dan setiap salah satu darinya mempunyai kegunaannya tersendiri.“Pertama digunakan untuk berlumba, kedua digunakan race spare dan yang ketiga sekadar untuk hiasan ataupun dibawa bersiar-siar,” ujarnya.
“Jika ada pengubahsuaian terhadap ‘minibike’ ini, kos penyelenggaraan akan bertambah seperti minyak petrol, minyak hitam dan rantai perlu diselenggara, kadang-kadang mencecah sehingga ribuan ringgit,” jelasnya lagi.
Baru-baru ini beliau telah menganjurkan satu perlumbaan melibatkan bilangan peserta seramai 120 penyertaan dari dalam dan luar negeri seperti dari Johor, Selangor dan Pahang.
“Untuk penganjuran perlumbaan ini selaku penganjur kita tidak boleh meletakkan yuran terlalu mahal sebagai contoh 1 penyertaan jenis ‘aircool’, kategori 6-12 tahun sebanyak RM70, nanti yang ‘bising’ bukan pelumba, tapi ibubapa penjaga,” katanya.
Dalam perlumbaan ini beliau membahagikan kepada tiga kategori iaitu Junior (6-12 tahun), Senior (13-17 tahun) dan Terbuka (18-30 tahun). Setiap kategori ini dibahagikan kepada dua iaitu ‘air-cool‘ dan ‘water-cool’ kecuali kategori Terbuka.Tambahnya lagi, dalam perlumbaan ini juga terbuka kepada golongan Veteran yang berumur 30 tahun keatas.
Pada peringkat saringan sebanyak 5 kali pusingan dan akhir sebanyak 7 kali pusingan.“Panjang trek ini ialah 350meter, mempunyai 9 selekoh, 2 laluan lurus dan lebar trek ini adalah 20-30 kaki,” katanya.
Rashid berkata, bagi mereka yang berminat dan ingin mencuba motorsikal mini ini sama ada mempunyai ‘minibike’ sendiri atau ingin menyewa ‘minibike’ yang dikhaskan untuk disewa adalah berpatutan dengan kos pentadbiran yang ditanggung olehnya.
“Sekiranya mereka datang ingin bermain atau secara kebetulan dan ingin mencuba kita akan sediakan sut baju, sarung tangan dan topi keledar. Kadar sewaan adalah RM10 selama lima minit.
“Secara umumnya, bagi pelumba beginner jika dia boleh catat masa satu pusingan selama satu minit dia ada empat pusingan lagi.
“Bagi mereka yang sudah expert satu pusingan boleh mencatat masa selama 29 saat, maka tidak kurang 10 pusingan dia boleh buat,” kata Rashid yang juga merupakan seorang Pelumba Kereta.
Realitinya..
Mohd Nor
Kesan kepada mereka yang menceburi dalam sukan perlumbaan ini bukan sahaja kepada diri dan jiwa mereka sendiri sahaja. Malahan minat, jiwa dan sebahagian cita-cita ini telah menjadi sebahagian dalam hidup anak-anak mereka yang bergelar pelumba cilik ini.
Bagi Mohd. Nor, 35, minat anaknya Mohd. Amizul Akmal, 6 tahun terhadap sukan motorsikal ini adalah kerana mengikut jejak beliau yang merupakan pelumba kereta dan motorsikal yang masih aktif. Benarlah kata pepatah ‘bapa borek anak rintik’.
“Sejak umur dia 3 tahun lagi, pada mulanya dia selalu tengok abah dia pergi lumba kereta dan motorsikal dan dari situ timbul mintanya terhadap sukan ini,” katanya.
Oleh kerana minat anaknya terhadap sukan ini, setiap hari Sabtu dan Ahad atau jika ada cuti umum beliau akan membawa anaknya berkunjung dan mengajar anaknya mengenai cara-cara menunggang motorsikal dengan betul dan selamat ke NSC ini.
Berikutan itu, harapan terhadap anaknya bukan sekadar memberi anaknya untuk suka-suka berlumba tanpa memikirkan aspek keselamatan keselamatan.
“Biarlah dia besar nanti dia tahu tentang keselamatan, kita bagi dia main sukan ini kalau dia tiada ciri-ciri keselamatan dia tidak boleh menunggang motosikal,” katanya.
Tambahnya lagi, melihat keadaan semasa mengenai gejala lumba haram seperti Mat Rempit bukan sahaja boleh merosakkan masa hadapan mereka akan tetapi boleh mempengaruhi gejala ini kepada golongon kanak-kanak yang meningkat dewasa.
“Sekarang tahulahkan musim Mat Rempit, saya tidak mahu dia jadi Mat Rempit, saya mahu dia jadi Mat Trek,” katanya.
Mohd Amirul (depan) dan Adi Rahimi(belakang) ketika sesi latihan di NSC.
Menurut Rashid Bin Ramlan, 36 yang juga merupakan pemilik NSC berkata, anak beliau Adi Rahimi, 9 tahun, belajar semasa umurnya 6 tahun dan sekarang telah menyertai lebih dari 3 kali pertandingan dalam sukan permotoran ini serta pernah mendapat Naib Johan.
“Mula-mula dia belajar menunggang motorsikal ini semasa Tadika dan mula aktif dalam sukan permotoran ini semasa umurnya 8 tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau mengajar anaknya secara teori dan praktikal mengenai teknik-teknik menungggang dengan betul. Dalam masa 2 bulan setengah diberi tunjuk ajar dan sebagainya, anaknya sudah mampu menyaingi mereka yang sudah 1 tahun menunggang dalam sukan permotoran ini.
“Bila kita ‘race’ pandai macam mana sekalipun, berani macam manapun, dalam ‘corner’ jika tida disiplin dia akan jatuh,” jelasnya.
Sementara itu, Rashid juga tidak membenarkan anaknya untuk tidak menunggang motorsikal ini jika pelajaran atau persekolahan terganggu sekadar untuk memotivasikan diri anaknya supaya tidak mengabaikan pelajaran.
“Alhamdulillah sebelum ini, dia selalu dapat nombor satu dalam kelas jika selepas ini pelajarannya terganggu. So, tak payah mainlah,” tegasnya yang juga merupakan lepasan Ijazah dari Universiti Utara Malaysia.
Menurut Adi Rahimi, pengalaman terjatuh semasa menunggang di litar dan melihat gelagat ‘Mat Rempit’ terjatuh di jalanraya beliau sudah tahu membezakan di mana tempat yang lebih selamat dan memilih litar dijadikan tempat untuk berlumba.
“Berlumba di litar lebih selamat kerana apabila berlanggar atau terjatuh, kalau sakit hanya lebam sahaja, lagipun tiada orang langgar,” katanya.

