Ada apa pada IKAN, CINCIN dan TEROMPAH?
Teringat cerita Si Tukang Karut penjual cincin dan teman-teman yang mengatakan(jelas) bahawa ianya mempunyai hikmat, kelebihan dan kekebalan untuk menangkis serangan daripada pihak lawan, musuh dan makhluk-makhluk halus mengikut jenis, warna dan besarnya cincin tersebut apabila Si Pemakainya dalam kesusahan dan sebagainya.
Cerita mengenai ikan, segala jenis ikan yang dibela samada dalam dan luar rumah. Yang jadi peliknya kenapa dan mengapa Ikan Puyu dijadikan sebagai pilihan. Kenapa dan Mengapa tidak mahu bela Ikan Jerung? Boleh makan terus Si Pencuri durjana.
Terompah pula boleh dijadikan sebagai alat untuk menghalau makhluk halus.
Boleh percaya ke?
Dato’ Dr Harun Din menjawab pertanyaan seorang teman mengenai ada apa pada Ikan Puyu (bela dalam akuarium) yang dikatakan boleh menghalang daripada pencuri untuk masuk ke dalam rumah.
Secara ringkasnya, melalui apa yang saya faham melalui soal-jawab ini ialah kita bukan 100% mengharapkan kepercayaan bahawa ianya boleh jadi penghalang. Akan tetapi, sejauh mana amalan seharian seseorang itu untuk menghalang dari berlakunya kejadian seperti ini.
Sebagai contoh, membuat amalan seperti mengamalkan pembacaan Ayat Kursi, empat QUL, membaca Surah Al-Baqarah untuk dijadikan pendinding dan bersedia dari segi kebendaan (pagar) daripada apa jua bentuk serangan.
Mustahil dan tidak masuk akal sekiranya seseorang itu hanya bergantung kepada kepercayaan bahawa ikan tersebut adalah pendinding tanpa ada amalan dan persediaan seperti yang dinyatakan di atas.
Perkara ini memang dilarang, berdosa sekiranya kita hanya bergantung pada sesuatu apa jua bentuk, benda dan sebagainya selainNYA yang boleh membawa kita semua dalam kancah SYIRIK kepada Allah S.W.T.
Firmannya:
{Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji], mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya.” Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji.” Mengapa kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?}
(Surah Al-’Araf, 28)
{Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya.” Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.}
( Surah Az-Zumar, 3)
Begitulah juga cerita Ustaz saya mengenai zaman Imam Ahmad Hanbal merupakan seorang yang amat dikenali pada ketika itu oleh Raja dan disegani masyarakat dan umat Islam hingga sekarang.
Al-Kisahnya maka tersampuklah Puteri Raja tersebut dirasuk Syaitan, maka memanggil Raja tersebut akan bomoh-bomoh serata tempat untuk mengubati Puteri kesayangan beliau.
Akan tetapi Syaitan yang sememangnya berjanji akan menyesatkan kaum Adam hingga kiamat, maka tewaslah bomoh dan pawang tidak juga membawa keluar dari tubuh Puteri Raja tersebut.
Sehingga pilihan terakhir maka Raja itu pun memanggil Imam Ahmad supaya datang ke Istana untuk mengubati Puteri tersebut. Mahu dijadikan cerita, dengan hanya memiliki TEROMPAH (selipar) sahaja, Imam Ahmad menghalakan sebelah terompahnya ke tubuh Puteri (sedang dirasuk) maka bertempiaran lari Si Perasuk tersebut. Raja mengucapkan terima kasih kepada Imam Ahmad kerana berjaya menghalau Syaitan tersebut menggunakan terompahnya.
Selang beberapa tahun, Imam Ahmad meninggal dunia, sepatu terompahnya dijadikan hiasan Raja dan meletakkannya di dalam almari cermin.
Terjadi lagi perkara yang sama, maka Syaitan datang merasuk Puteri kesayangannya. Teringat Raja itu bahawa terompah yang digunakan Imam Ahmad ada disimpan di dalam almari. Percubaan demi percubaan menggunakan terompah tersebut tidak berjaya…
Kenapa pula kebal si Syaitan tersebut?
Ketika masih hidup, terompah tersebut selalu dipakai oleh Imam Ahmad pergi ke masjid, surau dan tempat yang elok. Sekiranya beliau mengambil air sembahyang maka mengalirlah air wudu’nya ke terompah beliau. Menjaga ibadat dan amalan.
Jadi, apa yang ingin disampaikan di sini apa yang ada pada cincin itu sama juga apa yang ada pada ikan tersebut. Boleh juga disamakan dengan terompah mempunyai kelebihan, hikmat dan kekebalan sendiri jika kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ingin pertolongan dan bantuan dalam kesusahan mohonlah dengan Allah S.W.T, bukan hanya ‘memakai’ dan ‘membelanya’ sahaja tanpa bertaqwa kepadaNYA.
FirmanNYA:
{Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan kemanfaatan kepada kita dan tidak (pula) mendatangkan kemudharatan kepada kita dan (apakah) kita akan kembali ke belakang(syirik), sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita, seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di pesawangan yang menakutkan; dalam keadaan bingung, dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus (dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami.” Katakanlah:”Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk; dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam.}
(Surah Al-Aan’am, 71)