USIM: Mahasiswa USIM diharap dapat menyertai sukan ini bukan sahaja diperingkat Asean malahan keperingkat yang lebih tinggi seperti Olimpik.
Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Abdul Shukor Bin Hj Husin, berkata mengenai harapan bukan sahaja USIM sebagai jawatankuasa untuk mempromosikan sukan ini diperingkat ASEAN malahan antarabangsa. Beliau juga berharap mahasiswa juga akan mewakili negara dalam sukan ini nanti.
Berikutan itu, katanya, beliau mengharapkan juga kepada semua atlet-atlet yang terlibat ataupun tidak supaya menjadikan sukan sebagai cara hidup sihat yang berterusan ketika merasmikan Majlis Perasmian Sukan Antara Fakulti (SUFA) 2008 di Stadium Tertutup USIM semalam yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor HEPA dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.
“Untuk menjadi pasukan yang mantap perlu kepada fizikal yang sempurna, mental yang mantap dan kemahiran yang tinggi yang perlu kepada latihan yang berterusan,” katanya.
Tambahnya lagi untuk menjadi mahasiswa yang sentiasa sihat dan cergas dari pelbagai aspek mereka perlu sistematik dan disiplinkan diri dalam kehidupan seharian seperti cara pemakanan, pembahagian masa dan belajar.
“Sebenarnya minda dan fizikal mempunyai hubungan, kalau fizikal kita tidak sihat hendak belajar bagaimana, kalau demam sedikit fikiran terganggu dan semua ini saling berhubung.
“Ertinya bila fizikal kita baik maka minda kita cerdas dan apabila ianya berfungsi dengan baik hendak belajar mudah dan kita boleh menjadi ahli akademik dan atlet yang berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai SUFA pada kali ini, katanya, mereka yang komited, berusaha gigih, berlatih, melihat ini satu peluang dan merebut peluang itu dan mempunyai disiplin dan sistematik akan menjadi juara.